Tuesday, 12 April 2011
NOVEL: ROS BIRU UNTUK DIA (bab 5)
LYANNA termenung di balkoni. Dia baru sahaja selesai mandi dan menunaikan solat Maghrib. Fakhrul masih belum pulang dari kerja. Mungkin juga dia tidak pulang malam ini. Fakhrul begitu benci padanya kerana menyangkakan Lyanna sengaja memerangkapnya. Lyanna mengeluh perlahan. Disentuhnya pipi kiri yang ditampar semalam. Pertama kali dia ditampar. Lantas mengingatkannya pada perbualannya dengan Adam suatu ketika dahulu.
“Abang tahu tak, Lyanna ada satu prinsip yang Lyanna tak pernah beritahu orang lain,” Lyanna tersenyum manis. Direnungnya kening Adam yang lebat dan menawan, daya penarik lelaki itu.
“Ala, abang nak tahu boleh? Dengan abang mana boleh berahsia. Tak baik berahsia suami isteri, nanti seri rumah tangga tak datang tahu.”
“Pandai-pandai je abang ni. Mana ada seri rumah tangganya. Kita belum nikah tahu.”
“Itu memanglah. Tapi kita bakal nikah, kan? Beritahu abang, sayang. Penat abang tunggu.”
“Pada Lyanna, orang pertama yang tampar Lyanna akan jadi orang yang paling Lyanna benci sepanjang hayat. Tak kisahlah siapa dia.”
“Oh, ni kenapa beritahu abang ni? Takut abang tampar Lyanna? Hm?”
“Taklah. Kan tadi abang yang nak tahu. Tak baik berahsia suami isteri. Nanti seri rumah tangga tak datang,” sengaja Lyanna mengajuk.
“Nakal. Jangan risaulah Lyanna. Abang sayangkan Lyanna tahu. Takkan tampar Lyanna. Tu janji abang. Lagipun haram bagi suami memukul isteri di muka dan memukul pun ada cara dan syaratnya. Lagipun, dayuslah lelaki tampar perempuan. Walaupun sayang pernah tampar abang...” Adam mencemik. Buat-buat comel pula.
“Alah, abang ni. Tu Lyanna tampar lain. Sorry...”
“Hehe... tak apa. Sebab tampar tu abang jatuh hati. Tapi abang tak akan tampar sayang abang ni. Tu janji abang tahu. Kalau sayang buat salah abang tak tampar. Lagi abang belai pipi tu adalah. Nak?”
“Nak apa?”
“Nak tak abang belai pipi sayang tu sekarang?” Adam mengenyitkan mata dan tersenyum nakal. Suka melihat wajah comel Lyanna yang kemerahan.
“Abang jangan mengada. Ingat janji kita. Abang tak boleh sentuh Lyanna selagi Lyanna belum sah jadi isteri abang. Abang jangan buat-buat lupa,” bibir Lyanna mula muncung. Geram betul dengan Adam. Tapi di hati tetap sayang.
“Okeylah sayang. Rugilah kalau sentuh sekarang. Nanti dah kahwin apa nak sentuh lagi. Betul tak?”
“Gatallah abang. Malas layan...”
Ah, Adam! Lyanna terlalu rindukan abang! Banyak kenangan indah bersama. Mungkinkah impian mereka untuk membina mahligai cinta bersama terkubur begitu sahaja setelah dia bernikah dengan Fakhrul semalam? Ah, semuanya sudah berlaku. Dulu aku pernah berhasrat untuk menjadi isteri yang baik. Lyanna ingin menjadi seperti Siti Khadijah yang begitu disayangi Rasulullah. Namun, mampukah dia menjadi seorang isteri yang baik untuk Fakhrul? Lyanna langsung tidak mempunyai walau sekelumit pun rasa sayang pada Fakhrul. Malah Fakhrul sendiri tidak menganggapnya sebagai seorang isteri.
Lamunan Lyanna terhenti apabila mendengar hempasan pintu bilik. Pasti Fakhrul. Lyanna beristighfar dan hanya mampu pasrah. Pasrah sekiranya dia dipukul Fakhrul lagi.
“Hei, perempuan. Amboi, bukan main lagi berangan dekat luar tu. Kenapa? Berangan nak jadi puan besar dekat rumah ni pula? Jangan mimpilah kau. Aku akan layan kau lagi teruk dari orang gaji. Kau ingat bila kau dapat nikah dengan aku semua impian kau tercapai? Kau silap. Kau belum kenal siapa aku.”
Lyanna cuma mampu berdiam diri. Dia sudah penat membela diri bahawa dia tidak bersalah tapi Fakhrul tetap menganggapnya seperti menegakkan benang yang basah. Biarlah... Lyanna juga seperti sudah lali mendengar caci hina Fakhrul.
“Aku nak kita pindah dari rumah ini. Esok hari Sabtu. Bukan bekerja pun. Lainlah kalau kau nak jumpa orang suruhan kau untuk rancang entah apa-apa lagi. Aku tak mahu kita duduk sini. Aku tak faham kenapa papa bela kau sangat. Kau ni perempuan sihir agaknya. Ada ilmu hitam. Aku cakap kita pindah esok ni kau dengar tak?”
Lyanna membatu. Matanya hanya mengarah pada jari-jemari kaki. Gerun dia untuk melihat wajah bengis Fakhrul.
“Hei, bila aku cakap pandang aku! Bila aku tanya jawab! Faham?” kedua-dua pipi Lyanna dicengkam kasar oleh Fakhrul. Namun, satu perasaan aneh menyelinap dalam hati Fakhrul bila terpandang mata coklat milik Lyanna. Cinta? Ah, aku takkan jatuh cinta pada perempuan murah begini!
Pantas cengkaman di pipi Lyanna dilepaskan dan Fakhrul berlalu ke bilik mandi. Sekuat mungkin hati lelaki Fakhrul menjerit menafikan apa yang dirasa.
“KENAPA pula hendak keluar dari rumah ini? Duduklah sahaja di sini. Senang papa tengok-tengokkan kamu berdua,” Dato’ Ehsan membantah keras keputusan Fakhrul untuk berpindah dari singgahsana milik mereka.
“Tak apalah papa. Kami nak berdikari. Lagipun kami mahukan privacy,” runsing Fakhrul untuk meyakinkan papanya.
“Kamu berdua yang mahukan privacy atau kamu sendiri yang mahukan privacy Fakhrul? Jangan ingat papa tak tahu apa yang kamu selalu lakukan di luar. Macam-macam papa dengar. Papa harap kamu ubah perangai kamu tu selepas kamu sudah berkahwin. Ingat kamu sudah ada isteri. Ada tanggungjawab.”
“Alah, abang ni. Janganlah tuduh anak kita yang bukan-bukan. Biarlah mereka pindah. Lagipun Fakhrul cakap mereka hendak berdikari. Mata saya pun dah tak sakit kalau budak tu tak ada. Biarlah Fakhrul tu enjoy. Dia masih muda dan dia pun belum bersedia berkahwin. Kalau betina tu tak perangkap dia, tak adanya dia kahwin lagi. Abang jangan halang kehidupan Fakhrul tu. Dia lelaki. Dia pun boleh kahwin lagi hatta empat pun. Dia berkemampuan. Lagipun kuasa talak ada di tangannya. Bila-bila dia boleh ceraikan betina tu. Dia tak layaklah untuk Fakhrul. Perangai kotor mengalahkan pelacur. Sanggup memerangkap Fakhrul untuk kesenangan,” laju sahaja Datin Afifah mencaci.
“Ifah jangan nak menghina orang. Anak kesayangan Ifah ni pun bukan baik sangat. Berkepit dengan macam-macam perempuan ke hulu ke hilir. Cukup bertuahlah kamu Fakhrul dapat bernikah dengan perempuan sebaik Lyanna.”
“Yang abang menangkan sangat perempuan ni kenapa? Abang dah jatuh hati dengan dia ke? Sebab abang tu dah tua, perempuan ni tak nak, abang bagilah perempuan murah ni pada anak kita. Atau abang pakat dengan perempuan ni perangkap anak kita?” Datin Afifah bersuara lantang. Dia cukup tak faham kenapa suaminya memenangkan Lyanna. Atau Lyanna sudah mengilmu hitamkan suaminya?
“Awak jangan cabar saya Ifah!” hati Dato’ Ehsan panas. Sudah melampau isterinya sehingga sanggup menuduhnya sedemikian.
“Abang nak pukul saya? Pukullah!”
Lyanna membatu. Dia tertekan dengan situasi sekarang. Ugutan dan amukan Fakhrul yang terpaksa dihadapi dan cacian dan hinaan dari Datin Afifah menambahkan luka di hati setelah bernikah tanpa rela. Kini Dato’ Ehsan dan Datin Afifah bertengkar pula kerananya. Pasti dia dituduh sengaja menjadi dalang memecah belahkan keluarga Dato’ Ehsan.
“Tak apalah Dato’, Datin. Saya rasa lebih baik saya keluar dari rumah ini. Saya tak mahu susahkan Dato’ apatah lagi Datin,” Lyanna sudah tekad. Inilah keputusan yang terbaik. Kemahuan Fakhrul dan hati Datin Afifah pasti lapang setelah tidak perlu lagi melihatnya setiap hari.
LYANNA termangu. Kini dia berada di dalam rumah teres dua tingkat yang begitu asing. Rumah teres milik Fakhrul. Rumah teres ini agak luas. Namun Fakhrul hanya membenarkan Lyanna menghuni bilik kecil di tingkat bawah. Walau bagaimanapun, Lyanna bersyukur. Ini lebih baik dari tidur di balkoni setiap malam. Lagipun bilik ini dilengkapi dengan bilik air di dalamnya. Bilik kecil ini kosong. Langsung tidak ada sebarang perabot. Yang ada hanyalah kipas dan lampu di siling. Lyanna mengeluh perlahan. Dia akan cuba meminta kebenaran Fakhrul untuk membeli kelengkapan bagi memenuhi bilik ini.
Sewaktu Lyanna melangkah keluar dari bilik, kelihatan Fakhrul terkocoh-kocoh menuruni tangga. Pasti mahu bertemu dengan mana-mana perempuan. Saleena atau siapa-siapa sahaja. Lyanna langsung tidak merasai walau sekelumit pun perasaan cemburu.
“Encik Fakhrul, boleh tak kalau saya hendak beli apa-apa yang patut untuk bilik saya? Saya janji saya tak ganggu ruang lain. Cuma bilik itu sahaja.”
“Ikut suka kau lah!” ringkas sahaja jawapan Fakhrul.
“Tunggu! Kau boleh buat apa-apa yang kau suka dekat rumah ni. Tapi ruang kau cuma bahagian bawah ni sahaja. Kau jangan sesekali pijakkan kaki di tingkat atas. Tingkat atas aku punya. Ingat, kau dengan aku bukan ada apa-apa. Aku tak anggap kau isteri aku. Kau boleh buat apa-apa yang kau suka. Kalau kau nak bawa lelaki tidur dekat bilik kau tu pun aku tak kisah,” Fakhrul tersenyum sinis. Tidak lama kemudian kedengaran ngauman Toyota Celica miliknya berlalu dari perkarangan rumah teres itu.
Lyanna terdiam. Sehina itu sekali pandangan Fakhrul terhadapnya. Pantas Lyanna masuk ke bilik. Otaknya mula merangka susun atur biliknya ini. Sudah lama dia tidak terlibat dalam urusan yang melibatkan hiasan dalaman. Pada masa yang sama, Lyanna mengira akaun dalam simpanannya. Mujur Lyanna banyak menyimpan dari masa dia mula-mula bekerja. Malah Lyanna menyimpan wang untuk kegunaan selepas berkahwin dengan Adam. Malangnya sekarang wang itu digunakan untuk perbelanjaan selepas berkahwin dengan Fakhrul, lelaki yang tak pernah tercapai dek akal Lyanna.
Syukur Lyanna ada wang simpanan. Kalau tidak dia tak tahu bagaimana hidupnya kini. Nak harapkan Fakhrul bagi nafkah, Lyanna pun tak mahu. Silap-silap dituduhya lagi Lyanna perempuan pisau cukur. Esok hari Sabtu dan Lyanna tidak bekerja. Dia mula bercadang untuk membeli cat dan mengecat bilik ini dahulu. Warna kegemarannya tentu sekali merah jambu. Warna itu mampu memberikan ketenangan dan semangat untuknya. Dia akan mengecat sendiri biliknya esok. Dan hari Ahad dia akan membeli katil dan almari untuk mengisi pakaiannya. Jika ada wang yang lebih, Lyanna bercadang untuk meletakkan penyaman udara di dalam bilik ini. Tak perlulah beli yang besar. Yang kecil pun sudah memadai kerana bilik ini kecil sahaja.
Lyanna mengira bajet perbelanjaan yang akan digunakan. Penyaman udara dan set bilik tidur lebih kurang RM 4000 dan cat untuk bilik kecil ini RM 100 pun sudah lebih dari cukup. Bajet Lyanna cuma RM5000. Walaupun Lyanna mempunyai banyak wang dalam simpanan, tetapi dia tidak boleh terlalu boros memandangkan hidupnya yang seperti sebatang kara kini.
Penat berfikir akhirnya Lyanna terlelap di atas lantai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment