Tuesday, 12 April 2011

NOVEL: ROS BIRU UNTUK DIA (bab 3)




“ANAK tak guna! Kau dah malukan aku! Inikah yang aku dapat lepas aku bagi kau kesenangan dan pelajaran?” Puan Juriah melengking kuat. Encik Haris menghalang Puan Juriah dari bertindak kasar terhadap Lyanna.

“Sabar Yah. Bawa bersabar. Dia anak kita,” Encik Haris cuba menenangkan isterinya. Selama ini tidak pernah dia melihat Puan Juriah bertindak sedemikian terhadap Lyanna. Masakan tidak, Lyanna satu-satunya anak perempuan mereka yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak kecil. Entah kenapa hati Encik Haris berkata puterinya itu tidak bersalah.

“Anak? Saya tak ada anak macam dia. Memalukan. Dari kecil mak ajar kamu pakai tudung. Untuk lelaki yang bukan mahram kamu ni, bukan setakat buka tudung, berpelukan pula! Dengan keadaan kamu yang...” Puan Juriah tidak mampu meneruskan kata. Sakit dadanya melihat gambar Lyanna bersama seorang lelaki yang ditunjuk oleh Jabatan Agama Islam tadi.

“Mak...” sayu hati Lyanna mendengar kata-kata emaknya tadi. Bukan anak?

“Sudahlah Lyanna. Daripada Lyanna buat maksiat baik Lyanna kahwin saja dengan lelaki tu. Lagi cepat lagi bagus. Lagipun kad kahwin kamu sudah diedarkan. Kamu kahwin sahaja pada tarikh tu. Bukan lama sangat. Dua minggu saja lagi. Tapi bukan dengan Adam. Cukuplah kamu mainkan Adam tu. Dia budak baik. Aku memang nak Adam tu jadi menantu tapi kau sendiri yang cari fasal. Jangan jumpa aku lagi lepas kau nikah! Hubungan kita putus! Kau bukan darah daging aku!”kemarahan Puan Juriah masih membara.

“Astaghfirullahhalazim. Bawa mengucap Yah. Lyanna ni anak kita. Kita pun tak tahu betul ke dia bersalah.”

“Abang nak pertahankan dia untuk apa lagi? Dia dah menconteng arang ke muka kita bang! Gambar tu pun bukti yang jelas. Biar dia kahwin dengan lelaki tu. Dia tak layak untuk Adam!”

Lyanna teresak-esak menangis. Aku tak layak untuk Adam? Abang tolong Lyanna. Lyanna tak nak kahwin dengan dia. Lyanna nak kahwin dengan abang. Lyanna sayang abang. Bukan dia. Sumpah Lyanna tak curang. Semua ini salah faham yang berlaku secara kebetulan. Lyanna cuma mampu merintih dalam hati.

“Lyanna, abah rasa pun elok kamu bernikah saja dengan dia. Fasal Adam nanti abah cakap dengan keluarga dia. Atau Lyanna nak bercakap dengan Adam sendiri?” Encik Haris masih tenang. Kasihan Adam. Apa agaknya reaksi lelaki itu bila mengetahui tunangnya yang bakal dinikahi dua minggu lagi ditangkap khalwat dengan lelaki lain?

“Abah, tolong Lyanna. Lyanna tak nak kahwin dengan dia. Lyanna sayang Adam. Semua ni salah faham, abah. Lyanna cakap sendiri dengan Adam nanti. Lyanna rela dia marah Lyanna. Lyanna lagi rela dia dengar dari mulut Lyanna sendiri dari mulut orang lain. Tapi Lyanna tak bersalah, abah... “

“Pandailah kamu tak bersalah. Cukuplah Lyanna! Kau sudah tipu orang tua kau jangan kau nak tipu keluarga Adam tu pula. Kamu ni memang...” belum sempat Puan Juriah habis berkata dia sudah rebah. Nasib baik tubuhnya sempat disambut anak sulungnya, Izmeer. Abang sulung Lyanna yang tadi senyap sekadar merengus pada Lyanna. Pandangannya juga penuh dengan perasaan benci. Adik Lyanna, Izham pula sekadar merenung kakaknya. Ada kesan air mata di mata adiknya itu walaupun air matanya tidak menitis. Kecewakan Izham dengannya?

“Assalamualaikum...” Dato’ Ehsan menyalami Encik Haris.

“Waalaikumussalam,” huluran tangan Dato’ Ehsan disambut hormat oleh Encik Haris. Izham turut menyalami tangan Dato’ Ehsan.

“Maaf kalau permintaan saya ni keterlaluan. Kalau boleh saya nak mereka dinikahkan. Bukan saya pentingkan diri sendiri. Saya harap Encik...”

“Saya Haris.”

“Encik Haris faham situasi keluarga saya. Demi menjaga nama keluarga kami, saya harap mereka dinikahkan. Kalau masalah duit, saya boleh uruskan. Saya tak mahu kes ini berlanjutan ke mahkamah. Saya harap Haris faham. Maaf kalau Haris rasa saya agak mementingkan diri.”

“Entahlah Dato’. Benda dah jadi. Saya rasa itulah yang terbaik untuk mereka.

“Tak perlu panggil saya Dato’. Panggil saja Ehsan. Kalau boleh kita nikahkan sahaja mereka malam ini.”

“Saya ikut sahaja. Kendurinya kita adakan lagi dua minggu di rumah saya. Hal itu saya boleh uruskan,” tak sampai hati pula rasanya hendak memberitahu Lyanna bakal bernikah dengan tunangya lagi dua minggu. Biarlah. Dia tidak mahu mengusutkan keadaan dan membuat Dato’ Ehsan serba salah. Biarlah mereka tidak tahu.


AIR mata Lyanna tidak putus-putus mengalir sejak dia dinikahkan tadi berwalikan bapanya. Kini dia berada di dalam bilik yang cukup asing. Bilik Fakhrul! Seketika kemudian, kedengaran pintu dikuak. Wajah menyinga Fakhrul muncul.

“Hei, perempuan! Kau jangan ingat kau dah berjaya perangkap aku, kau akan dapat apa yang kau nak?” sebiji penampar melayang ke pipi Lyanna. Seumur hidup Lyanna, inilah kali pertama dia ditampar. Dia memang dimanjakan emak dan abah. Pukul pun tidak pernah inikan pula tampar. Tidak sangka ini hadiah perkahwinan yang dia dapat. Ya Allah...

“Aku tak tahu apa yang kau dah ilmukan papa aku tu sampai dia suka sangat dengan kau. Tapi aku benci kau tahu! Aku akan buat hidup kau merana. Jangan salahkan aku sebab ini pilihan kau. Kau boleh tidur mana-mana yang kau suka. Aku tak ingin sentuh kau! Jijik!”

Lyanna sekadar terdiam mendengar sumpah seranah Fakhrul. Air matanya mengalir lagi. Kalaulah aku berkahwin dengan Adam pasti aku akan dibelai. Apatah lagi malam pertama bagi pengantin. Lyanna mengelap cecair merah di penjuru bibirnya.

“Dah! Tak payah bazir air mata kau tu. Aku rasa, daripada kau jadi arkitek, baik kau jadi pelakon. Mesti kau menang banyak award. Sebab itu kau boleh bodohkan semua orang di sekeliling kau termasuklah aku. Bodohnyalah aku tolong kau tadi. Patutnya tak payah aku selamatkan. Kalau aku biar pun kau takkan kena rogol. Lainlah kau serahkan tubuh kau tu sebagai upah sebab berjaya bodohkan aku. Who knows, right?” tanpa mempedulikan Lyanna, Fakhrul terus merebahkan diri di atas tilam empuk.

Adam, maafkan saya. Kita tiada jodoh. Awak dah tahukah saya bernikah dengan lelaki lain? Kenapa saya call awak talian tidak dapat disambungkan? Mesti awak benci saya Adam. Mana aku nak tidur ni? Lyanna terpandang balkoni. Dia melangkah keluar. Matanya sukar untuk lelap. Pedih kerana terlalu banyak menghamburkan air mata. Lyanna tersentak bila telefon bimbitnya bergetar.

“Hello, Lyanna...” suara itu cukup dikenali. Puan Zakiah, ibu Adam.

“Ibu...” Lyanna tidak dapat menahan sebak. Sekali lagi dia menangis.

“Lyanna sudah tahu ya? Bawa banyak-banyak bersabar Lyanna. Ibu pun bersedih juga. Tak sangka jadi begini. Lyanna banyak-banyakkan berdoa untuk Adam...”

“Adam? Kenapa dengan Adam?” Lyanna cemas. Ya Allah. Kenapa dengan Adam.

“Adam kemalangan sayang. Sekarang dia koma. Ibu pun tak tahu kenapa dia tergesa-gesa keluar naik kereta dalam pukul 10 tadi. Ibu cuba nak panggil tapi dia dah pecut kereta. Tiba-tiba hospital call beritahu Adam kemalangan. Lyanna tak tahu ke?” air mata Puan Zakiah mengalir. Sedih mengenangkan nasib anak lelakinya yang terlantar di hospital.

“Ibu, kenapa dugaan menimpa-nimpa pada Lyanna, ibu...” Lyanna mengongoi menangis. Adam... Pukul 10? Bukankah waktu itu... Ingatan Lyanna melayang pada peristiwa tadi. Adam, awak keluar cari saya ke? Maafkan saya Adam.

“Ya Allah. Kenapa ni sayang?”

“Ibu... Maafkan Lyanna ibu. Maafkan Lyanna...”

“Kenapa Lyanna. Cuba beritahu ibu. Ibu sedia dengar. Lyanna ada masalah ya?”

“Ibu, Lyanna nak jumpa ibu. Ibu di hospital ya? Hospital mana ibu?”

“Lyanna, sudah pukul 2 pagi ni. Kita jumpa esok sayang. Bahaya Lyanna keluar larut malam begini. Esok saja ya Lyanna. Nanti ibu mesej hospital dan nombor bilik Adam.”

“Tapi ibu...”

“Ibu harap Lyanna dengar cakap ibu sayang. Ibu tak mahu jadi apa-apa pada Lyanna. Ibu sayang Lyanna.”

Lyanna terdiam. Terpaksa akur permintaan Puan Zakiah. Kalaulah Puan Zakiah tahu dia ditangkap khalwat masihkan wanita itu mahu menyayanginya seperti sekarang? Sedangkan ibunya sendiri tidak mahu mengaku Lyanna zuriatnya.

Fakhrul baru hendak melelapkan mata. Namun apabila terdengar suara perempuan berbual, dia kembali terjaga. Dalam keadaan mamai, dia teringat bahawa dia sudah bernikah dengan Lyanna beberapa jam tadi. Terlihat bayang Lyanna di balkoni dan gayanya seperti sedang berbual di telefon. Ibu? Bukankah Lyanna memanggil emak? Ah, buat apa aku ambil tahu perihal perempuan tak guna itu. Namun ada satu nama yang menarik perhatiannya. Siapa Adam? Akhirnya Fakhrul terlelap.


SEBAIK sahaja Lyanna tersedar, dia mendapati dirinya terbaring di balkoni. Kedinginan pagi benar-benar mencengkam. Kepalanya terasa sakit namun digagahkan juga dirinya untuk bangun. Dia perlu membersihkan diri dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Ilahi. Dia sudah tiada siapa. Keluarganya sendiri membuangnya. Abah yang mulanya seperti mempertahankannya langsung tidak mahu menegurnya selepas dia bernikah. Ah, Lyanna! Kau sudah menjadi yatim piatu sebelum masanya. Tak apa. Lyanna masih ada Allah.

Usai sahaja mandi, Lyanna menunaikan solat subuh. Mujurlah malam tadi dia sudah bertanya pada Dato’ Ehsan arah kiblat. Dilihatnya Fakhrul masih lena tidur di atas katil berselimut tebal. Hendak dibandingkan dengan dirinya yang tidur meringkuk di balkoni dalam keadaan kesejukan. Ah, beginikah kehidupanku selepas ini. Lyanna mengangkat takbir. Sesungguhnya hanya kepada Allah dia mengadu.

Fakhrul tersedar. Dilihatnya Lyanna sedang khusyuk solat. Ah, nak tunjuk baik pula! Sebelah hati Fakhrul mengatakan gadis itu sengaja memerangkapnya. Sebahagian lagi pula berkata Lyanna tidak bersalah dan semuanya berlaku secara kebetulan. Hatinya berperang sendiri.

No comments:

Post a Comment