Tuesday, 12 April 2011

NOVEL: ROS BIRU UNTUK DIA (bab 4)




"MORNING Lyanna! Eh, kenapa bibir kau tu?” Mira ramah menegur.

Morning. Tak ada apa-apalah Mira. Aku biasa sahaja.”

“Lyanna, tell me the truth. I know you are lying. Please, Lyanna. Aku tak senang tengok kau macam ni. Mata kau tu kenapa? Gaduh dengan Adam ke? Takkanlah!”
Lyanna tidak mampu menahan kesedihannya lagi. Lantas air matanya mencurah-curah membasahi pipi.

“Lyanna, what’s wrong? Okey, kalau kau rasa kau akan lega bila menangis, just cry Lyanna. Jangan simpan. Kalau ada masalah kau boleh cerita pada aku kalau kau rasa itu akan mengurangkan beban kau,” Mira memeluk Lyanna erat. Tidak pernah dia melihat Lyanna begini. Apa yang berlaku agaknya.

“Mira, apa yang kau cakap malam tadi jadi kenyataan Mira. Aku dah nikah dengan Encik Fakhrul. Kami ditangkap khalwat. Masa aku nak balik, aku hampir kena rogol dengan dua lelaki. Lepas tu Encik Fakhrul datang selamatkan aku. Lepas dua perogol tu lari, aku rasa takut sangat dan aku pun tak sedar aku peluk dia. Tiba-tiba Jabatan Agama Islam datang dan kami dituduh berkhalwat. Aku cuba nak ceritakan pada emak dan abah aku. Tapi mak aku tak percaya. Dia cakap lepas aku nikah dengan Encik Fakhrul, pertalian kami terputus. Abah aku mula-mula macam percayakan aku tapi lepas dia jadi wali semasa aku nikah, dia dah tak hiraukan aku lagi. Lagi teruk, Encik Fakhrul ingat aku perangkap dia. Aku tak buat Mira. Betul.”

“Ya Allah, Lyanna. Lyanna, aku minta maaf Lyanna. Aku minta maaf. Aku yang salah. Kalau aku tak merepek bukan-bukan mungkin benda ni tak jadi Lyanna. Marahlah aku Lyanna. Aku yang salah. Bencilah aku. Aku tak kisah,” Mira mula menangis. Rasa kesal mula bertapak di hatinya. Adakah kata-kata usikannya pada Lyanna semalam satu doa? Ya Allah, kawanku ini tidak bersalah.

“Tak Mira. Aku tak salahkan kau. Kau tak salah. Jangan macam ni Mira. Kitakan kawan. Aku takkan benci kau. Aku sayang kau.”

“Lyanna, Encik Fakhrul nak jumpa...” Zarul salah seorang pekerja di firma yang sama tapi bekerja di bahagian Quantity Surveyor memanggil Lyanna. Sebenarnya sudah lama dia berada di sebalik pintu dan dia mendengar segalanya. Lyanna sudah bernikah dengan Encik Fakhrul?

Hati Zarul sakit. Sudah lama dia memendam rasa pada Lyanna. Sejak dari zaman universiti. Dahulu dia dan Lyanna sahabat baik. Banyak kali Zarul memberikan hint kepada Lyanna. Namun Lyanna tidak melayannya dan menganggapnya hanya sebagai teman biasa. Malah, Zarul terus menjauhkan diri bila Lyanna menjalinkan hubungan dengan seorang senior bernama Adam. Tapi, macam mana boleh jadi dengan Encik Fakhrul pula? Ah, aku akan pisahkan Encik Fakhrul dengan Lyanna. Lyanna milik aku!

“Okeylah Mira, aku pergi dulu. Nanti aku cerita,” Lyanna pantas berlalu. Ada debaran hebat dalam dadanya. Teringat tengkingan Encik Fakhrul malam tadi.

“Hah, mana design banglo yang aku suruh buat semalam?”

“Err... atas meja saya...”

“Atas meja? Apa kau ingat aku ni nak pergi meja kau ke? Aku nak tengok design tu. Otak ada tapi tak tahu fikir. Itulah kalau hati tu dah kotor!”

“Baik. Saya ambil sekarang,” Lyanna melangkah keluar dari bilik Encik Fakhrul. Terasa ingin menangis namun Lyanna berazam tidak akan menangis lagi depan Encik Fakhrul. Dia akan cuba menjadi wanita yang tabah. Pantas Lyanna mengambil design yang sudah siap di plot malam tadi.

“Ni design ke sampah? Kalau Ashraff tak suka design ni, aku akan suruh arkitek lain buat projek ni. Kalau boleh aku nak berhentikan kau kerja dari sini. Aku meluat tengok muka kau yang pura-pura baik tu. Ingat, sedikit kesilapan yang kau buat, aku akan hentikan kau. Dasar perempuan tak boleh harap!”

Jantung Lyanna terasa mahu gugur. Diberhentikan? Bagaimana dia mahu menyara dirinya? Abah? Tak mungkin. Aku dah tak punya sesiapa. Lyanna terus berlalu keluar dari bilik Fakhrul.

“Lyanna, jom pergi makan tengahari. Dah pukul 1 dah ni.”

Lyanna sekadar menurut. Kasihan Mira melihat Lyanna. Kenapa begini sekali dugaan buatmu Lyanna?

“Okey. Tapi kau drive ya? Aku penatlah. Boleh?” Lyanna tersenyum. Ah, aku tidak boleh biarkan kesedihan menyelubungi diri.

“Okey... tapi aku bawa MyVi je. Tak macam Honda Jazz kau.”

“Alah Mira, aku tak kisah pun. Kereta juga. Kalau kau bawa kereta sorong aku kisah. Sebab nanti kena gilir-gilir tolak kereta sorong tu. Takkan kau nak tolak aku sepanjang jalan pula. Kurus kering kau nanti,” Lyanna ketawa.

Mira tersenyum. Kagum dengan ketabahan Lyanna. Betapa sabarnya dia menempuh dugaan. Namun Mira tahu, disebalik senyum Lyanna terselit sengsara yang mendalam. Kedua-duanya berjalan seiringan menuju ke kereta.

“Mira, kalau kita tak pergi lunch tapi kita pergi jumpa Adam boleh?”

“Ha? Boleh. Aku tak kisah. Lyanna, mulai sekarang aku akan selalu ada disamping kau. Apa-apa pun terjadi kau ingat kau masih ada aku. Aku akan tolong kau Lyanna. Itu janji aku pada kau.”

“Terima kasih Mira. Kita pergi hospital ya. Adam kemalangan malam tadi.”

“Ya Allah, Lyanna. Dia tahu ke kau dah bernikah?”

“Tak. Aku tak tahu apa reaksi dia kalau tahu aku dah bernikah. Kau bayangkanlah, lagi dua minggu sepatutnya majlis perkahwinan kami, tapi sekarang diganti. Bukan majlis aku dengan Adam, tapi dengan Fakhrul. Adam sekarang koma Mira. Aku rasa Adam kemalangan sebab aku.”

“Sebab tahu kau dah bernikah maksud kau?”

“Bukan. Kan aku cerita aku hampir dirogol malam tadi. Sebelum tu Adam ada call. Dia pesan kalau aku sampai rumah call dia. Masa kejadian tu, ada handphone aku tu bunyi, Adam call. Aku tak dapat jawab sebab dua lelaki tu halang dan ugut aku. Ibu Adam cakap Adam tergesa-gesa keluar naik kereta dalam pukul 10. Aku rasa dia kemalangan sebab aku.”

“Sabarlah Lyanna. Setiap yang berlaku ada hikmah.”

“Ya, every cloud have a silver lining. Aku ingat tu. Aku cuba sabar selagi aku mampu. Kau doakan aku.”

Don’t worry Lyanna. I will!”

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam wad Adam, Lyanna tersedu-sedu menangis di dalam dakapan Puan Zakiah. Sedih Lyanna melihat keadaan Adam yang berbalut di kepala dan wayar yang berselirat di seluruh tubuh. Lelaki itu kelihatan begitu lena dalam mimpi yang panjang.

“Sabarlah sayang. Jangan menangis begini. Kenapa sebenarnya Lyanna?”

“Maafkan Lyanna ibu. Lyanna minta maaf sangat-sangat. Lyanna tidak salah ibu. Sungguh! Lyanna sanggup bersumpah,” bersungguh-sungguh Lyanna menyuarakannya.

“Kenapa Lyanna?” Puan Zakiah mengusap-usap belakang Lyanna yang kini berada dalam dakapannya. Hatinya diserbu seribu pertanyaan tentang tingkah Lyanna yang begitu pelik di matanya.

“Lyanna takut ibu marah Lyanna, benci Lyanna...”

“Ibu sedia dengar penjelasan Lyanna. Kenapa sebenarnya? Terus terang dengan ibu.”

“Ibu, Lyanna minta maaf banyak-banyak. Apa yang Lyanna hendak beritahu ni Lyanna tak tipu. Sungguh! Lyanna kena tangkap khalwat semalam, ibu. Lyanna tak salah. Semuanya berlaku secara kebetulan. Lyanna tak sangka semua ni boleh jadi. Lyanna rasa bersalah pada ibu dengan Adam.”

“Perlahan-lahan Lyanna. Cuba ceritakan secara jelas. Ibu sedia dengar,” Puan Zakiah memeluk Lyanna. Hampir menitis air mata keibuannya mendengar rintihan Lyanna.

“Malam tadi Lyanna pulang lambat sebab nak siapkan design untuk projek yang baru Lyanna dapat. Lyanna balik agak malam juga. Hampir pukul 10 baru kerja Lyanna siap. Masa Lyanna nak balik, Lyanna hampir kena rogol. Tiba-tiba Encik Fakhrul datang selamatkan Lyanna. Bila semuanya sudah selamat, di bawah kesedaran Lyanna peluk Encik Fakhrul. Masa tu juga Jabatan Agama Islam datang dan tangkap kami. Malam semalam Lyanna dinikahkan dengan Encik Fakhrul. Tapi ibu, Encik Fakhrul tak terima Lyanna sebagai isteri. Dia sangka Lyanna yang perangkap dia. Sumpah Lyanna tak perangkap dia. Lyanna sayangkan Adam. Bukan dia. Lyanna nak kahwin dengan Adam. Lyanna dah cuba pujuk mak dengan abah tapi mak tak mahu percaya. Mak dah tak mengaku Lyanna zuriat dia sebab Lyanna dah malukan keluarga.”

“Ya Allah, Lyanna. Kenapa sampai jadi begini? Lyanna banyak-banyak bersabar. Semua ini takdir,” Puan Zakiah semakin mengeratkan rangkulannya. Kasihnya tumpah pada Lyanna. Sudah bertahun dia kenal Lyanna. Sejak Adam tahun ketiga di universiti lagi. Dia percaya kata-kata Lyanna.

“Ibu, Lyanna bersalah pada ibu dan Adam. Adam kemalangan sebab Lyanna. Lyanna dah tak dapat kahwin dengan Adam. Lyanna dah bernikah. Tapi Lyanna tak rela. Tolong Lyanna, ibu...”

“Tak Lyanna. Ibu tak salahkan Lyanna atas apa yang berlaku. Lyanna percaya Qada dan QadarNya kan? Kita berdoa untuk Adam. Kalau ada jodoh Lyanna dengan dia, tak ke mana. Lyanna jangan macam ni. Ibu tahu Lyanna kuat. Apa pun terjadi ibu sayangkan Lyanna.”

“Ibu, macam mana ibu baik sangat dengan Lyanna? Mak Lyanna sendiri buang Lyanna dari keluarga. Lyanna pun sayangkan ibu, sayang sangat-sangat...”

“Lyanna jangan cakap macam itu. Mak Lyanna bukan tak sayang. Mungkin dia masih marah dan terkejut. Lama-lama akan padam api marahnya tu. Itu memang naluri seorang ibu, Lyanna. Besar mana pun kesalahan anaknya, tapi sayang mengatasi segalanya. Lyanna cuma perlu banyak bersabar dan berdoa. Ingat Allah.”

“Terima kasih ibu. Terima kasih sebab masih sudi sayangkan Lyanna,” pantas Lyanna meleraikan rangkulan dan matanya memandang tepat wajah Puan Zakiah. Terpancar kasih sayang pada wajah itu.

“Lyanna, kenapa dengan bibir Lyanna ni? Lyanna kena pukul ya?”

Lyanna tidak menjawab. Hanya terkaku. Teringat peristiwa dia di tampar malam tadi. Entah apa pula habuan dari Fakhrul yang diperolehinya nanti. Hanya air mata yang mengalir menangisi nasib diri.

“Ya Allah, Lyanna... Ibu percaya Lyanna tabah,” Puan Zakiah kembali memeluk Lyanna.
Mira yang berada di situ mengesat air mata. Kasihan Lyanna. Mulianya hati seorang wanita bernama Puan Zakiah. Semoga Lyanna terus tabah.

No comments:

Post a Comment